Monday, December 17, 2012

TEKS UCAPAN PENGARAH PROJEK, MAJLIS PENUTUPAN BAKSIS POLIS MARIN, LANGKAWI


TEKS UCAPAN PENGARAH PROJEK
Bismillahirrahmanirrahim,  Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera

Yang Berusaha,
 Tuan Rodzi Abu Hassan,
Pegawai Pemerintah Gerakan Pasukan Marin
Wilayah 1 Langkawi

Yang Berusaha,
Tuan Mohd Puzi Bin Din,
Penyelaras Bakti Siswa,
‘Senandung Budi, Sulaman Kasih’.

Yang Berusaha,
.............................................................................,
Penolong Pengetua,
Dewan Penginapan Pelajar,
Tenaga Nasional,
Universiti Utara Malaysia.

Yang Dihormati,
Ahli-ahli jawatan kuasa pelaksana program,
Para Keluarga Angkat,
Rakan-rakan mahasiswa-mahasiswi UUM,
Seterusnya Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian.


Terlebih dahulu marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin dan inayahNya dapatlah kita bersama-sama pada hari ini dalam Majlis Perasmian Penutup Program Bakti Siswa Perdana Polis Marin Langkawi, “Senandung Budi, Sulaman Ksih” yang telah bermula pada 2 Julai sehinggalah pada hari ini iaitu 5 Julai 2012. Alhamdulillah, akhirnya, kita telah berjaya dengan sempurna berkampung di Kem pOlis Marin Langkawi yang indah ini selama 4 hari 3 malam.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa program ini telah membawa sejuta kenangan dan pengalaman yang cukup menyumbangkan set-set kehidupan yang disulami dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan akhlakiah yang mulia. Segala nikmat dan input-input yang berguna dari perjalanan program BAKSIS ini diharapkan dapat ditanam, dibaja dan dituai dengan sebaik-baiknya oleh warga Polis Marin dan warga UUM sekalian.
Sesungguhnya, kami dari pihak UUM sedia menerima jemputan dan pandangan daripada warga Polis Marin dengan tangan terbuka jika tuan-tuan dan puan-puan sekalian memerlukan sebarang perkongsian ilmu pengetahuan daripada institusi kami. Dengan izin Allah S.W.T, mudah-mudahan pertemuan kita di perkampungan ini tak lekang dek hujan, tak lapuk dek panas serta berkekalan dan abadi selamanya.

Hadirin sekalian,
Ingatlah, buang yang keruh dan ambillah yang jernih daripada kami. Setiap manusia tidak semaksum Nabi yang tidak mempunyai sebarang salah dan khilaf. Sekiranya kami ada terlanjur dalam pertuturan dan perbuatan dengan warga Polis Marin sepanjang kami berkampung di sini, kami dengan rendah dirinya memohon ampun dan maaf daripada warga Polis Marin sekalian.  

Tidak dilupakan, sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada rakan-rakan ahli jawatankuasa dan kakitangan yang terlibat dalam program ini yang telah banyak membantu saya dan bertungkus-lumus bagi memastikan program Bakti Siswa ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Semoga penganjuran program seumpama ini akan merapatkan lagi ukhuwah dan hubungan silaturrahim di antara  kalangan warga UUM dengan warga kampung Polis Marin Langkawi yang dikasihi sekalian.

Hadirin dan hadirat sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya ingin berkongsi dengan para hadirin dengan beberapa kata-kata hikmat yang mungkin mampu memberi sedikit motivasi dan pengajaran untuk rentetan perjalanan hidup kita sekalian.


"Manusia mampu mengemukakan 1000 alasan mengapa mereka gagal tetapi mereka sebenarnya hanya perlukan satu sebab yang kukuh untuk berjaya."

"Manusia gagal bukan kerana kebodohan, tetapi mereka gagal kerana melakukan perkara yang bodoh."

"Bahagia seseorang manusia tidak terletak pada penilaian orang lain, duka seseorang manusia tak sama dirasai orang lain, tetapi bahagia yang hakiki adalah ketaqwaan yang semua manusia patut miliki."

"Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata."

Renung-renungkanlah….
Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


3 comments: