TEKS UCAPAN FELO DPP
TNB, UUM
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera
Yang Berusaha,
Tuan Rodzi Abu Hassan,
Pegawai Pemerintah Gerakan Pasukan Marin
Wilayah 1 Langkawi
Yang Berusaha,
Tuan Mohd Puzi Bin Din,
Penyelaras Bakti Siswa,
‘Senandung Budi, Sulaman
Kasih’.
Saudari,
Nordiana Tajuddin,
Pengarah Program Bakti Siswa,
‘Senandung Budi, Sulaman
Kasih’.
Yang Dihormati,
Ahli-ahli jawatan kuasa
pelaksana program,
Para Keluarga Angkat,
Mahasiswa-mahasiswi UUM,
Seterusnya Hadirin dan hadirat
yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah kita
bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin
dan inayah-Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Majlis Perasmian Program
Bakti Siswa 2012, yang akan bermula pada hari ini hingga 5 Julai 2012 dan saya
mewakili warga UUM ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tanda terima kasih
yang tidak terhingga kepada para hadirin kerana sudi hadir dalam program pagi ini.
Ucapan terima kasih juga diucapkan
kepada barisan tetamu dan dif-dif kehormat yang sudi melapangkan masa untuk hadir
bagi memeriahkan lagi majlis ini. Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan
puan-puan semua amat besar ertinya buat UUM dan kami menyanjung tinggi komitmen
tuan-tuan dan puan-puan yang sentiasa menyokong apa-apa jua program yang dianjurkan
oleh UUM.
Sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan
buat ahli jawatankuasa dan kakitangan yang terlibat dalam program ini baik
secara langsung mahupun tidak langsung sekaligus memastikan kejayaan Program Baktisiswa
Perdana Polis Marin, “Senandung Budi, Sulaman Kasih” ini. Syabas dan tahniah
saya ucapkan.
Harapan saya, agar penganjuran program
seumpama ini akan merapatkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan warga UUM
amnya dan warga Polis Marin Langkawi khasnya.
Hadirin dan Hadirat sekalian,
Program Bakti siswa ini merupakan
program teras dalam perancangan program pelajar di setiap dewan penginapan
pelajar di Universiti Utara Malaysia sebagai pelengkap kepada pelajar bagi
melahirkan graduan-graduan yang berintelek dan berkemahiran tinggi dalam sistem
pengurusan. Hal ini selaras dan bertepatan dengan “trademark” UUM iaitu
universiti pengurusan terkemuka serta memenuhi ciri-ciri moto UUM iaitu ILMU,
BUDI dan BAKTI.
Penganjuran program ini juga merupakan
antara usaha dan inisiatif UUM dalam membentuk minda kelas pertama dalam kalangan
masyarakat kampung sebagai salah satu tanggungjawab sosial untuk membantu
kerajaan Negeri dalam merapatkan jurang sosial serta pendedahan tentang
institusi pengajian tinggi dalam negara.
Suka saya selitkan di sini iaitu sebagai
mahasiswa, setiap pelajar mestilah menganggap penganjuran program ini bukan sekadar
membuang masa sebaliknya saya amat berharap agar anda semua menjadikan
pengalaman untuk menyertai program seumpama ini sebagai peluang yang mungkin
tidak dapat diperolehi di masa akan datang sekali gus terus bersemangat menjadi
lebih baik dari sehari ke sehari.
Hadirin hadirat sekalian,
Bagi para pelajar UUM, inilah masanya
untuk memupuk semangat kerja berpasukan dan bekerja dengan masyarakat di
samping menimba pengalaman kehidupan bersama masyarakat kampung, melatih
kemahiran berkomunikasi dan menyebarkan maklumat kepada keluarga angkat serta masyarakat
kampung, khususnya mengenai program-program yang ditawarkan oleh UUM bagi
memupuk minat dan motivasi adik-adik kita di sekolah rendah dan menengah untuk
lebih bersemangat unutk menjejakkan kaki menara gading.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Program Bakti Siswa 2012 yang
dianjurkan ini merupakan usaha yang telah dilaksanakan oleh UUM untuk memberi
kesedaran sosial kepada mahasiswa dan mahasiswi supaya dapat menanam dan
mengamalkan semangat perpaduan, permuafakatan dan berinteraksi dengan
masyarakat sekeliling. Interaksi sosial ini penting untuk memberi impak kepada
pembentukkan sahsiah pelajar sebagai suatu kemahiran “soft skill” yang perlu
ada kepada mereka. Para mahasiswa dan mahasiswi perlu didedahkan kepada suasana
kehidupan bermasyarakat supaya mereka benar-benar dapat menyelami realiti
kehidupan dan tidak terbelenggu dengan suasana pembelanjaran di kampus.
Sebelum mengakhiri ucapan pada pagi
ini, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga
kepada hadirin sekalian kerana sudi hadir bagi menjayakan majlis pada pagi ini.
Harapan saya, agar penganjuran program seumpama ini mampu meninggalkan sejuta
kenangan, pengalaman dan ilmu pengetahuan yang meluas kepada warga Polis Marin
Langkawi ini. Semoga ikatan silaturrahim di antara warga UUM dengan warga Polis
Marin Langkawi akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Sekian,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment